Untuk itu sebagai permulaan, kerjasama akan dibentuk antara kerajaan negeri, Persatuan Badminton Melaka (PBM), pengusaha gelanggang sukan badminton dan St John Ambulance Malaysia (SJAM) negeri bagi menganjurkan kursus rawatan kecemasan kepada kakitangan bagi meningkatkan kemahiran petugas.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, Pembangunan Belia dan Sukan negeri, Kerk Chee Yee berkata, menerusi kursus tersebut, kakitangan dan petugas di pusat gelanggang sukan badminton akan diberi tunjuk ajar oleh SJAM mengenai kaedah membantu pesakit yang diserang penyakit jantung mengejut ketika bersukan.

"Kerajaan negeri memandang serius kejadian serangan jantung melibatkan mereka yang sedang bersukan dan ramai yang tidak tahu empat minit selepas serangan jantung adalah `tempoh berharga' bagi mereka menerima rawatan kecemasan termasuk bantuan Pernafasan Resutasi Kardiopulmonari (CPR).

"Untuk itu kerajaan negeri akan memulakan kerjasama dengan pengusaha sukan badminton menganjurkan kursus kesedaran mengenai bantuan kecemasan dalam tempoh terdekat dan selepas ini kita akan perluaskan kepada sukan-sukan lain seperti futsal, bola sepak padang dan tenis," katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan lapan pengusaha sukan gelanggang badminton di pejabat Majlis Sukan Negeri (MSN) Melaka di Krubong di sini sebentar tadi. - UTUSAN ONLINE