Perbandingan harga itu untuk menunjukkan bahawa harga runcit petrol yang telah pun ditetapkan secara mingguan bermula 5 Januari lalu adalah lebih rendah berbanding negara-negara ASEAN yang lain.

Perkara berkenaan didedahkan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang memuat naik sepucuk surat daripada Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Muez Abd. Aziz kepada PDB ke dalam akaun Twitter miliknya, hari ini.

Menurut Khairy, kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini juga pernah membuat perbandingan harga dengan negara-negara ASEAN namun dikecam ramai pihak kerana dikatakan tidak relevan.

“Masa kerajaan BN buat perbandingan harga petrol di negara-negara ASEAN, ramai kecam sebab kata tak relevan banding dengan tempat lain. Sekarang dah kena paksa paparkan di semua stesen minyak,” katanya dalam hantaran itu.

Khairy turut berseloroh dengan seorang pengikutnya apabila ditanyakan mengenai harga petrol di Brunei yang tidak terdapat dalam senarai dimuat naik Ahli Parlimen Rembau itu.

“Brunei dikecualikan sebab nak tunjuk Malaysia paling rendah. Harap dapat dipaparkan harga petrol di Brunei juga. Baru lengkap ASEAN,” katanya.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) kembali mengguna pakai mekanisme harga automatik (APM) secara mingguan seperti yang pernah digunakan kerajaan terdahulu bermula 5 Januari lalu.

Harga petrol RON 97 dan RON 95 bagi minggu ini pula turun 1 sen seliter dengan masing-masing menjadi RM2.22 dan RM1.92 sen bermula tengah malam ini sehingga 18 Januari.

Sementara itu, harga diesel pula naik 1 sen seliter daripada RM2.04 seliter kepada RM2.05 seliter. - UTUSAN ONLINE