Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Norazam Khamis berkata, pihaknya akan memberi bantuan dan tunjuk ajar bagi menubuhkan skuad tersebut di semua 63 pusat tahfiz di negeri ini.

"Anggota bomba dari balai yang terletak berhampiran pusat-pusat tahfiz ini akan memberi panduan kepada skuad tersebut tentang penggunaan alat pemadam api dan cara menyelamatkan diri jika berlaku kebakaran," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan taklimat keselamatan kepada para pengusaha sekolah tahfiz dan pondok di Ibu Pejabat JBPM negeri di sini hari ini.

Menurut Norazam, beliau juga menasihatkan pengusaha pusat tahfiz supaya merujuk kepada bomba jika didatangi pihak yang ingin membantu menyediakan aspek keselamatan berkaitan kebakaran dan mendakwa telah mendapat kebenaran bomba.

Ujarnya, ini bagi mengelak mereka diperdaya pihak yang mahu mengambil kesempatan terhadap pusat tahfiz dan sekolah pondok di negeri ini. - UTUSAN ONLINE