Presiden Persatuan Pemilik Kedai Kopi Foochow, Toon Koon Ku berkata, perkara itu bagi mengelak pengusaha restoran berdepan kerugian disebabkan larangan merokok tersebut bakal menjejaskan kehadiran pelanggan di premis mereka.

Menurut beliau, larangan merokok sepenuhnya di restoran dan kedai makan terbuka juga bakal menyusahkan pelanggan yang kini boleh berdepan denda atau kompaun baharu yang disifatkan tidak adil.

“Larangan merokok sepenuhnya tanpa mengambil kira kepentingan perokok dan pengusaha kedai makan adalah tindakan yang keterlaluan dan kita berharap kerajaan turut memberi perhatian kepada perniagaan kami yang bakal terjejas ekoran peraturan ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Noor Mohamed Mohd. Abdullah turut melahirkan rasa kecewa dengan larangan drastik oleh kerajaan tersebut yang bakal menjejaskan kira-kira 3,000 ahlinya di seluruh negara yang mengusahakan lebih 30,000 rangkaian restoran.

Menurutnya, larangan itu juga bakal mengundang rasa kurang senang dalam kalangan pelanggan mereka yang kini terpaksa meninggalkan restoran untuk ke lokasi lain semata-mata untuk merokok.

“Bagi kami larangan seperti ini tidak praktikal dan selain menyusahkan pelanggan, ia juga menyulitkan pengusaha restoran kami kerana bakal berdepan dengan denda atau kompaun tertentu,” katanya. – UTUSAN ONLINE