Tinjauan Utusan Malaysia di premis berkenaan yang terletak di Jalan Junid, di sini sebentar tadi mendapati papan tanda yang sebelum ini diletak di hadapan kedai berkenaan tidak lagi kelihatan.

Usaha mendapatkan reaksi pemilik dobi tersebut masih tidak berhasil, namun berdasarkan laporan sebuah portal berita memaparkan pengusaha berkenaan sudah mematuhi titah Sultan Ibrahim dan meminta maaf kepada baginda.

Permohonan maaf berkenaan juga ditujukan kepada rakyat Johor ekoran atas ‘kekecohan’ yang berlarutan sejak minggu lalu.

Sultan Ibrahim menitahkan pengusaha tersebut agar menghentikan konsep berkenaan atau berdepan risiko ditutup oleh baginda jika ingkar.

Titah Sultan Ibrahim, konsep itu bertentangan dengan visi bersatu padu, harmoni, kesederhanaan dan toleransi yang diamalkan di negeri ini.

Isu tersebut mula tular dalam media sosial selepas sekeping gambar yang dipercayai diambil di dobi berkenaan dimuat naik oleh netizen biarpun pengusaha menerangkan tujuan itu adalah atas faktor kesucian. - UTUSAN ONLINE