Ribuan pengunjung dilihat mu­la membanjiri Dataran Temerloh sejak pukul 7 pagi bagi menghadiri program berkenaan yang dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini.

Rata-rata pengunjung yang ditemui Utusan Malaysia menyifatkan program itu memberikan pendedahan berguna khususnya berhubung aspek pelaburan.

Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Jengka, Siti Noratikah Mohd. Fauzi, 21, berkata, pelbagai pengetahuan baharu yang diperoleh tentang pelaburan memberikan manfa­at besar kepada generasi muda seper­tinya.

Menurutnya, pengisian program yang disediakan penganjur juga telah menarik minatnya dan rakan-rakan untuk memulakan pelaburan.

“Sebelum ini, kami hanya mengetahui tentang perkhidmatan bank tertentu seperti Maybank dan Bank Simpanan Nasional (BSN) tetapi apabila sampai di sini, kami melihat terdapat banyak institusi kewangan serta pelaburan lain,” katanya di sini, hari ini.

Jelasnya, berdasarkan kepada pendedahan yang diterima, dia dan rakan-rakannya ber­azam untuk merancang kewangan dengan lebih baik pada masa akan datang.

Dalam pada itu, seorang lagi pengunjung, Ku Ghazali Ku Yaakob, 41, berkata, kecacatan kaki akibat kemalangan jalan raya sejak 19 tahun lalu tidak menjadi penghalang kepadanya untuk mengunjungi program berkenaan.

Katanya, dengan berkerusi roda, dia yang dibantu rakan-rakannya sampai di Dataran Temerloh sejak pukul 9 pagi.

“Meskipun terpaksa dibantu untuk bergerak, saya tetap datang memandangkan program seperti ini menarik dan berfaedah.

“Saya bersyukur kerana dapat berkunjung dan mendapat pelbagai pendedahan tentang pelaburan,” katanya.