Wan Mahmud Wan Ali, 43, dari Besut, Terengganu diumumkan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek sebagai pengunjung ke dua juta ekspo pameran pertanian terbesar Malaysia itu, hari ini.

Beliau yang pernah melawat MAHA sebanyak tiga kali, diberi peluang memenuhkan sebuah troli dengan barangan yang dijual di Bazaar Industri Asas Tani (IAT) MAHA 2016 dalam tempoh 10 minit.

Gelagatnya menolak troli sambil dikejar pihak media menarik perhatian pengunjung dan peniaga di bazar itu sehingga ada peniaga yang turut membantu Wan Mahmud memasukkan barangan ke dalam troli tersebut.

"Saya sangat berpuas hati dapat memenuhkan troli tersebut walaupun sebenarnya saya tak tahu apa yang saya ambil," katanya di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) di sini, hari ini.

Barangan yang dikutip Wan Mahmud dianggarkan bernilai RM2,000.

Wan Mahmud berkata, pameran seperti MAHA amat baik dan berkesan untuk memperkenal serta mempromosikan produk ushawan tani kepada orang ramai bagi membantu mengembangkan industri itu.

"Ruang sebegini boleh mendedahkan rakyat kepada kebaikan dan kepentingan industri yang berasas makanan atau perkhidmatan yang merupakan jaminan kelangsungan bekalan makanan negara," katanya.

MAHA 2016 berlangsung di MAEPS dari 1 hingga 11 Dis ini dengan tema 'Makanan Kita, Masa Depan Kita'. - BERNAMA