Seorang peniaga, R. Inthira, 52, berkata, kesalahan memilih pemimpin bukan sahaja merugikan malah memberi kesan kepada penduduk dan pembangunan setempat.

Justeru itu katanya, tempoh 11 hari lagi menjelang hari pengundian perlu digunakan sebaiknya untuk menilai dan memutuskan calon pilihan sebelum mengundi.

"Fikir betul-betul, jangan salah undi. Guna peluang ini sebaik-baiknya kerana jika salah, kena undi lagi empat tahun.

"Bagi saya sendiri, saya mahukan Barisan Nasional (BN) kekal (kerusi Parlimen) di sini. Kalau boleh mahu calon mereka menang kerana sejak dulu orang di sini banyak yang dibantu oleh BN," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, seorang pesara tentera, Mohd. Nasir Mohd. Salleh, 67, berkata, walau siapa pun calon yang diketengahkan BN, dia akan tetap menyokong parti itu untuk terus kekal mempertahankan kerusi Parlimen berkenaan.

Katanya, orang ramai tidak perlu terpengaruh dengan hasutan jahat pihak luar yang mempelekehkan calon Orang Asli malah perlu memberikan sokongan kepada beliau untuk meneruskan kecemerlangan BN di sini.

"Tuan Ramli orang yang berpelajaran dan daripada pasukan keselamatan pula. Biarlah pengundi di sini pilih calon BN ini untuk menjadi Ahli Parlimen.

"Apa yang BN buat selama ini di sini adalah untuk semua kaum, tiada satu kaum pun yang terpinggir dan kami di sini berkawan baik dengan masyarakat Orang Asli, tiada masalah membeli jualan daripada mereka," katanya. - UTUSAN ONLINE