Titah baginda, pengundi lebih mengutamakan aspek tadbir urus yang baik dan defisit keyakinan berlaku kerana faktor-faktor ra­suah dan salah guna kuasa.

Baginda bertitah, pengundi mahukan tadbir urus yang berpaksikan undang-undang dan tidak kepada karisma seseorang individu.

“Sentimen pengundi wajib dibaca secara tepat oleh kerajaan yang telah diberikan mandat memerintah.

“Sentimen pengundi juga wajib dijadikan panduan kepada parti-parti politik yang berusaha untuk meneruskan jangka hayatnya.

“Sentimen pengundi yang lebih menumpukan kepada tadbir urus yang baik lagi telus dan semakin kurangnya daya pengaruh isu-isu sensasi berteraskan agama dan kaum membuka ruang luas untuk budaya politik di negara ini dapat dibangunkan atas penyebut atau denominator yang sama,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah ketika melancarkan buku Reflections on Malaysian Unity and Other Challengers tulisan Pengerusi Yayasan 1Malaysia (Y1M), Dr. Chandra Muzaffar di sini, hari ini.

Baginda bertitah, setiap negara menghadapi isu perpaduan dan pelbagai cabaran yang tidak ada kesudahannya.

Malah titah baginda, negara yang komposisi warganya terdiri daripada rakyat yang seragam atau homogenous tidak sunyi daripada perselisihan serta tidak bebas daripada menghadapi cabaran.

“Apatah lagi bagi Malaysia, sebuah negara yang memiliki segala elemen mencabar untuk mewujudkan perpaduan,” titah ba­ginda.

Titah baginda, bahasa Melayu merupakan ramuan penting yang selama ini berjaya membentuk perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia berbilang kaum dan memecahkan sempadan perbezaan dan kepelbagaian yang dihadapi sejak mencapai kemerdekaan.