Profesor Kejuruteraan Pengangkutan di Fakulti Kejuruteraan Awam, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Othman Che Puan berkata, tindakan tegas perlu dilakukan segera kera­na masalah itu semakin meruncing berikutan pertambahan kende­raan terutamanya di ibu kota.

Kata beliau, selain memastikan kelancaran lalu lintas, langkah itu juga boleh menangani sikap tidak bertanggungjawab segelintir pemandu yang meletakkan kende­raan sesuka hati serta tidak mematuhi undang-undang.

“Penguatkuasaan perkara utama berkait rapat dengan soal pengurusan trafik. Jika diteliti, sebahagian negara tidak membenarkan kereta masuk ke kawasan bandar pada waktu tertentu bagi memastikan trafik lancar.

“Walau bagaimanapun, segala kemudahan perlu dilengkapi terlebih dahulu khususnya pe­ngangkutan awam jika kerajaan serius mahu mengurangkan ma­salah ini,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai keadaan beberapa jalan di ibu kota termasuk lebuh raya yang mengalami kesesakan teruk berikutan musim cuti persekolahan yang bermula hari ini.

Pengerusi Ins­titut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros), Tan Sri Lee Lam Thye pula mahu pihak berkuasa melakukan tindakan bersepadu termasuk melancarkan operasi untuk mengesan pemandu yang tidak mematuhi undang-undang.