Beliau berkata, kegiatan tersebut bukan sahaja semakin berleluasa, malahan ada yang berani menceroboh dengan menggunakan jentera berat selain mengeluarkan kos yang tinggi.

"Kita dapati sekarang begitu banyak pihak yang berani memasuki tanah haram, ini mungkin disebabkan pleh penguatkuasaan yang lemah sebelum ini.

"Maka, buat masa sekarang, kita akan tingkatkan penguatkuasaan dan saya harap rakyat dapat membantu kerajaan dalam perkara ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian China Perak (PCCCI) di sini hari ini.

Ahmad Faizal diminta mengulas mengenai penerokaan tanah secara haram dekat Bukit Kledang di sini yang dianggarkan berkeluasan hampir 10 hektar oleh pihak yang masih tidak dapat dikenal pasti bagi tujuan perladangan kelapa sawit.

Penerokaan secara haram itu turut disahkan melibatkan sebahagian daripada tanah milik Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) dan tanah milik kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal mendakwa, kawasan berkenaan yang bukan terletak dalam kawasan rizab hutan, telah diluluskan untuk pembangunan bercampur oleh kerajaan terdahulu pada tahun 2015.

Bagaimanapun, kata beliau, pentadbiran kerajaan negeri pada masa kini masih belum membuat apa-apa keputusan mengenai kawasan tersebut.

"Oleh itu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Sahabat Alam Malaysia yang mengutarakan perkara ini dan kerajaan negeri dapat mengambil tindakan segera.

"Kita masih belum mengetahui siapa (dalangnya) tetapi apa yang kita tahu, kerja-kerja penerokaan ini telah dilakukan dalam tempoh dua minggu lalu dan apabila kita turun ke lokasi semalam, tiada lagi jentera-jentera berat di sana," katanya. - UTUSAN ONLINE