Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, selepas mendapat persetujuan Kabinet, penguatkuasaan garis panduan berkenaan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) akan bermula pada Julai nanti.

Katanya, pihak PBT sebelum ini berdepan masalah untuk menguruskan kereta terbiar kerana tiada prosedur operasi standard (SOP) berkaitan perkara itu sekali gus menimbulkan masalah untuk pengurusan.

“Garis panduan itu telah dibentangkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dalam mesyuarat Majlis Pengangkutan Negara hari ini sebelum ianya dibawa ke mesyuarat Kabinet pada April nanti untuk mendapatkan persetujuan.

“Dengan garis panduan ini, pihak PBT dapat menguruskan kereta terbiar dalam masa 33 hari sahaja berbanding hampir setahun mengikut amalan sekarang,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pengangkutan Negara Bilangan 1 2019 di sini hari ini.

Menurut Anthony, garis panduan yang akan dibentangkan itu melibatkan semua aspek bermula dengan kereta berkenaan ditarik, pencarian pemilik sehinggalah kenderaan berkenaan dilupuskan.

“Tiada apa-apa bayaran akan dikenakan kepada pemilik. Jika ada kereta terbiar, kereta itu akan ditarik dan kita akan siasat siapa pemilik serta latar belakang kenderaan sebelum kereta dihantar ke jawatankuasa pelupusan.

“Wang hasil pelupusan selepas ditolak kos-kos yang ditanggung oleh PBT akan disimpan selama dua tahun bagi membolehkan pemilik membuat tuntutan. Kereta berpemilik pula boleh dituntut dalam masa 14 hari sebelum proses pelupusan,” katanya.

Untuk rekod katanya, ada PBT perlu membeli trak tunda berharga RM100,000 selain Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MPPJ) membelanjakan RM564,000 untuk menyewa depoh simpanan dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) membelanjakan RM40,000 untuk pengiklanan notis.

Dalam perkembangan lain, Anthony berkata, mesyuarat berkenaan juga telah bersetuju untuk menyerahkan pengurusan bas henti-henti kepada kerajaan negeri kerana mereka lebih tahu mengenai perkhidmatan yang diperlukan di setiap negeri.

“Bagaimanapun, kerajaan negeri perlu memberi subsidi. Mereka juga akan diberikan kuasa untuk melantik syarikat pengendali. Sebelum ini kerajaan beri semua subsidi, sekarang jika negeri itu kaya mereka boleh beri lebih subsidi dan jika miskin kerajaan akan berikan lebih,” katanya. - UTUSAN ONLINE