Ekoran kes itu, masyarakat rata-rata memberi sokongan moral kepada Cikgu Azizan dan menyalahkan ibu bapa yang seolah-olah menyebelahi anak mereka walaupun anak itu telah melakukan kesalahan yang mungkin merosakkan masa depannya.

Apakah faktor yang masih membelenggu penguatkuasaan disiplin sekolah hari ini? Wartawan S2, FAIZAH IZZANI ZAKARIA dan ROZIANAH RISMAN menyingkap persoalan itu dalam laporan khas minggu ini.
 

MASYARAKAT semakin hilang kepercayaan pada sistem penguatkuasaan disiplin yang mengikut prosedur operasi standard (SOP) pendidikan sedia ada.

Walaupun pahit untuk ditelan, itu adalah apa yang dipercayai sedang berlaku dalam soal menangani masalah disiplin pelajar sekolah.

ANUAR AHMAD
ANUAR AHMAD

Menurut Pensyarah Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Anuar Ahmad, tindakan seorang guru, Azizan Manap menampar seorang murid tahun lima adalah satu tindakan yang tidak mengikut SOP penguatkuasaan disiplin sekolah. 

“Itu jelas. Semua orang tahu bahawa menampar pelajar secara fizikal oleh guru adalah tindakan yang dilarang dalam kod etika keguruan. 

“Soalnya mengapa tindakan yang melanggar kod etika ini mendapat sokongan masyarakat? Ini yang harus diteliti. Mengapa masyarakat ‘mengizinkannya’? 

“Sangat kurang kita dengar sokongan kepada pihak plaintif (ibu bapa pelajar) berbanding sokongan padu kepada Cikgu Azizan. Apakah selepas ini, tindakan menampar pelajar dengan niat menguatkuasakan disiplin akan terus diberikan sokongan masyarakat?,” soal beliau.

Anuar berkata, ‘keizinan’  masyarakat dalam hal itu antara lain disebabkan hilangnya kepercayaan mereka terhadap sistem penguatkuasaan disiplin pelajar yang sepatutnya mengikut SOP sedia ada.

Katanya, berdasarkan sokongan terhadap Cikgu Azizan itu, rata-rata masyarakat merasakan SOP sedia ada gagal membanteras isu disiplin pelajar.

“Mereka (masyarakat) semakin muak dengan gejala buli, seks luar nikah, lawan guru, merokok, dadah dan gangsterisme yang semakin meningkat tetapi tiada satu mekanisme penguatkuasaan disiplin berkesan dilakukan. 

“Masyarakat menjadi resah dan apabila berlaku kes Cikgu Azizan, mereka melepaskan keresahan itu dengan memberi sokongan terhadap tindakan guru terbabit,” katanya.

Tambah Anuar, semua faham niat guru tersebut mahu mendidik tetapi kaedah itu tidak menghalalkan cara.

Apa yang berlaku katanya,  jelas menunjukkan masyarakat tidak lagi percaya keberkesanan program kaunseling di sekolah, tidak lagi yakin pelaksanaan pendidikan moral dan pendidikan Islam dapat membendung  disiplin pelajar.

“Ini harus diberi perhatian oleh Kementerian Pendidikan. Sebenarnya kes Cikgu Azizan membuka lebih banyak lipatan isu perguruan yang kita kurang beri perhatian selama ini. Kita terlalu sibuk dengan PISA, TIMMS,
ICT, sekolah abad ke-21 dan segala macam agenda baharu pendidikan,” katanya.

Jelasnya, ada banyak kaedah pendidikan yang boleh digunakan untuk menangani  disiplin pelajar tetapi peranan yang lebih penting itu harus dipikul oleh ibu bapa yang perlu bertanggungjawab terhadap perilaku anak-anak mereka.

Beliau mencadangkan ibu bapa diwajibkan menjalani sesi kaunseling dan bagi kes juvana remaja 18 tahun ke bawah, ibu bapa sepatutnya diheret sama ke mahkamah bersama-sama anak mereka.