“Amalan membaca merupakan budaya yang penting dalam era yang serba mencabar ini. Kebolehan membaca ada-lah suatu kemahiran asas yang harus dikuasai oleh setiap kanak-kanak sejak awal usia mereka.

“Sebagai ibu bapa, kita harus memastikan kemahiran ini dipupuk dalam kalangan kanak-kanak sejak awal bagi ‘membuka jalan’ kepada mereka menimba ilmu dalam bidang pilihan mereka sendiri suatu hari nanti,” titah bag-inda.

Demikian titah baginda yang juga Pengerusi Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis ketika berkenan berangkat bercemar duli menghadiri program Majlis Penyampaian Biasiswa Smart Reader Kids - One Child One Hope (OCOH) anjuran Smart Reader Worldwide Sdn. Bhd. dengan kerjasama YTSP Perlis di Dewan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus negeri di sini hari ini.

Berangkat sama Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan anakanda baginda ber-dua, Putera Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Setiausaha YTSP Perlis, Datuk Johari Mohd. Darus.

Turut hadir mengiringi baginda berdua ialah Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man dan Pengasas bersama Smart Reader Worldwide Sdn. Bhd., Datuk Sri Dr. Richard Ong serta Prof. Datuk Dr. K. H. Wang beserta Pengarah Ekseku-tifnya, Kevan dan Keefe Ong.

Pada majlis tersebut, pihak Smart Reader meneruskan usaha murni mereka dengan memberi biasiswa kepada seramai 15 orang kanak-kanak dalam kalangan keluarga yang kurang berkemampuan di negeri ini.

Biasiswa berjumlah RM110,000 untuk tahun ini itu disalurkan melalui YTSP Perlis yang kini sudah memasuki tahun ke-11 program tersebut dijalankan di negeri ini.

Pemberian itu bertujuan bagi membolehkan golongan berkenaan turut bersama menikmati faedah pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti dan bermutu tinggi.

Terdahulu diadakan pelancaran ‘Buku Wawasan Membaca’ dan penyerahan mok cek yang disempurnakan oleh Putera Syed Syed Sirajuddin Areeb Putra yang pernah menuntut di Smart Reader Arau sebelum ini.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenaan menyerahkan peralatan persekolahan Smart Reader Kids kepada para penerima OCOH 2018. - UTUSAN ONLINE