Terdapat daripada mereka sanggup membelanjakan setengah juta ringgit bagi membida gambar-gambar bersejarah para pemimpin utama PH pada malam tersebut.

Antara yang menarik perhatian adalah penjualan gambar kenangan sidang akhbar pertama Tun Dr. Mahathir selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri bersama pemimpin gabungan parti PH pada Mei lalu, yang mencatatkan jualan lelongan tertinggi iaitu RM500,000.

Potret tersebut telah dibeli oleh Pengarah Urusan Platinum Victory Sdn. Bhd., Datuk Seri Gan Yu Chai yang syarikatnya terlibat dalam pembangunan projek kediaman Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip) di bawah kerajaan terdahulu.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat pengeluar sarung tangan getah terbesar di dunia, Supermax Corporation Berhad, Datuk Seri Stanley Thai turut membeli gambar yang merakamkan saat-saat Dr. Mahathir memulakan tugasnya sebagai Perdana Menteri pada harga bidaan RM350,000.

Stanley sebelum ini, pernah menggemparkan negara apabila memohon maaf kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas penglibatannya dengan kempen pembangkang ketika itu dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Beliau turut mengakui dipengaruhi dan dieksploitasi oleh pihak pembangkang ketika itu untuk mendapat sokongan dan undi orang Cina pada pilihan raya.

Beliau dan isterinya pernah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pada 2014 atas tuduhan menyampaikan maklumat yang tidak boleh didapati secara umum berhubung saham APL Industries Bhd. (APLI).

Jutawan permaidani, J. Deepak pula telah membeli gambar potret hitam putih Timbalan Perdana Menteri, Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada harga RM150,000.

Nama Deepak menjadi terkenal apabila beliau menyaman Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta dua syarikat untuk menuntut ganti rugi berjumlah RM676 juta iaitu kerugian yang dialaminya dalam transaksi pembelian tanah.

Gambar Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin telah dibeli oleh Pengerusi Eksekutif Metro Kajang Management Sdn. Bhd., Datuk Alex Chen Kooi Chew pada harga RM110,000.

Pengurusan kanan Metro Kajang iaitu Pengarah Urusannya, Tan Sri Eddy Chen dilantik sebagai pengerusi baharu Perbadanan PR1MA Malaysia pada 1 Oktober lalu.

Gambar Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan bapanya, Lim Kit Siang telah dijual pada harga RM100,000 kepada warga China yang hanya dikenali sebagai ‘Hwang’ dengan bidaan RM100,000 manakala gambar Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu pula dibeli individu bernama Salahuddin dari Pahang yang membida RM10,000. - UTUSAN ONLINE