Menteri Besar, Aminuddin Harun berkata, keputusan itu dibuat kerajaan negeri selepas mendapat maklum balas daripada orang ramai dan mengenal pasti beberapa kelemahan yang perlu diatasi sebelum pengisytiharan itu dapat dibuat.

Katanya, antara kelemahan tersebut ialah kekurangan infrastruktur yang setaraf seperti bandar raya lain di negara ini.

“Kita juga masih dalam proses mengubah suai bangunan MBS.

“Oleh kerana itu, pengisytiharan itu mungkin dibuat pada pertengahan atau akhir tahun depan,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Khas Majlis Perbandaran Seremban (MPS) dan Majlis Perbandaran Nilai (MPN) Bersama Menteri Besar di sini hari ini.

Menurut pentadbiran kerajaan sebelum ini, Seremban sudah diberikan kelulusan untuk berstatus bandar raya sejak 2013 tetapi menangguhkan pelaksanaannya selepas mendapati banyak isu berkaitan masalah dan keperluan rakyat belum diselesaikan.

Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan pernah memberitahu cadangan kerajaan negeri untuk membuat pengisytiharan berkenaan pada 1 Januari 2019 sempena Hari Keputeraan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir ke-71. - UTUSAN ONLINE