Pengerusi Institut Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA), Datuk Jeffrey Ng Tiong Lip berkata, perkara tersebut perlu dijadikan sebagai tanggungjawab sosial korporat (CSR) khususnya dalam merealisasikan impian pembeli rumah pertama.

“Unit rumah yang besar akan melibatkan kos pembinaan tinggi dan perkara itu menyebabkan kemampuan untuk membeli menurun.

“Peningkatan kos pembinaan dalam masa sama kekurangan tanah akan menyebabkan rumah yang dibina pada masa hadapan lebih kecil dan kompak,” katanya dalam sidang akhbar Taklimat Perumahan Mampu Milik REHDA di sini hari ini.

Berdasarkan taklimat tersebut, Institut REHDA mengenal pasti sembilan masalah utama yang membantutkan usaha menyediakan rumah mampu milik antaranya polisi perumahan ketat, peningkatan kos pembinaan dan keupayaan kewangan yang rendah.

Berikutan itu, REHDA telah menghasilkan pelan tindakan dikenali sebagai The Game Plan Transformation yang memiliki lapan garis panduan bagi menyelesaikan segala permasalahan berkenaan pembinaan rumah mampu milik.

Laporan lengkap berkenaan taklimat tersebut akan diserahkan kepada kerajaan Pakatan Harapan dalam masa terdekat untuk tindakan lanjut. - UTUSAN ONLINE