Tokoh Perlembagaan dan sosiobudaya, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, pengiktirafan UEC menafikan suara kelompok majoriti rakyat yang kebanyakannya membantah tindakan tersebut.

Jelas Rais, ‘pembelahan besar’ itu dibimbangi akan membawa kepada tindakan agresif yang akhirnya memaksa kerajaan menggunakan Perkara 150 (Akta Darurat) Perlembagaan Persekutuan bagi meredakan ketegangan yang berlaku.

Keadaan ini, tegas Rais, akan memberikan kesan negatif kepada kerajaan dan menyebabkan ‘penderitaan’ kepada pemerintah masa kini.

“Dalam situasi ketika ini, perbincangan adalah langkah terbaik untuk menangani isu pengiktirafan UEC ini agar aspek-aspek yang positif dalam pensijilan ini boleh kita terjemahkan dalam sekolah vernakular,” katanya katanya dalam program Sembang Online bertajuk Apa Istimewanya UEC? di sini hari ini.

Rais menegaskan, pelaksanaan UEC secara jelas menunjukkan bahawa kerajaan tidak mempunyai ketetapan dan pendirian sendiri dalam menentukan setiap dasar serta hala tuju negara.

Selain itu, katanya, isu UEC juga perlu dilihat dengan gambaran yang jelas dan bukan hanya mengikut janji politik yang dibuat sebelum ini.

Menyentuh isu sama, panel kedua program tersebut, Felo Utama Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong menyatakan bantahan terhadap tuntutan Dong Zong tidak seharusnya dianggap bersifat politik.

Kok Seong menjelaskan, masyarakat perlu memahami bahawa politik adalah mengenai ehwal negara dan rakyat, maka, jika dilihat dari takrifan dapat dilihat bahawa bantahan tersebut sebenar bukan berasaskan politik.

Bantahan tersebut, jelas beliau, sebenarnya bertujuan untuk menjaga kedaulatan serta dasar-dasar negara; mengegakkan keadilan sosial memelihara pembinaan negara bangsa.

“Dalam konteks ini, kita harus mentakrifkan politik dari sudut pandang ehwal negara dan rakyat.

“Kalau ini takrifnya politik maka kita akan dapat lihat bantahan ini sebenarnya lebih bersifat kepentingan negara dan rakyat,” kata beliau.

Perbincangan mengenai isu pengiktirafan UEC ini dibuat bagi mendapat pencerahan mengenai isu yang kembali hangat apabila baru-baru ini, kerajaan Melaka memutuskan untuk melaksanakan pengambilan lulusan UEC sebagai antara syarat perjawatan peringkat negeri.

Menurut Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari, langkah itu dilaksanakan memandangkan pengiktirafan UEC merupakan sebahagian daripada manifesto Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu.

Isu berkenaan juga dibangkitkan Setiausaha Agung Pemuda MCA, Datuk Leong Kim Soon yang berkata, kini DAP tidak mempunyai sebarang alasan lagi untuk tidak mengiktiraf sijil tersebut setelah wakilnya, Teo Nie Ching dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan.

Pihak Utusan Online turut menjemput pihak pengurusan Dong Zong untuk menyertai sesi perbincangan terbuka ini namun pelawaan yang diberi telah ditolak.

Alasan yang diberikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif pertubuhan itu, Hong Woan Ying bagi mengelakkan timbulnya lebih banyak salah faham mengenai isu tersebut. - UTUSAN ONLINE