Melalui penganugerahan ter­sebut, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad menerima darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (P.S.M) yang membawa gelaran Tan Sri manakala Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki menerima Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) yang membawa gelaran Datuk.

Sememangnya kedua-dua mereka layak menerima pengiktirafan tersebut setelah dilihat melakukan transformasi yang cukup mengagumkan sebaik sahaja digandingkan di dalam agensi berkenaan mulai Ogos tahun lalu.

Ketegasan dan gerakan yang dilakukan oleh Dzulkifli dan Azam dalam membanteras gejala salah guna kuasa dan rasuah di semua peringkat termasuk perkhidmatan awam tanpa memilih bulu telah memungkinkan SPRM kini menjadi salah sebuah agensi paling digeruni.

Selain melancarkan Gerakan Revolusi Anti Rasuah (Gerah), Dzulkifli, 49, yang berkelulusan Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) juga memperkenalkan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) apabila menerajui SPRM.

Ketegasan dan keberanian beliau bertindak dengan dibantu oleh Azam telah berjaya meletakkan SPRM menjadi sebuah agensi ‘Mesra rakyat, Digeruni Perasuah’. Di mana-mana sahaja kini, orang bercakap mengenai kejayaan SPRM, apatah lagi Dzulkifli melakukan pendekatan mesra rakyat melalui Program Ziarah Kasih.

Melalui program itu, Dzulkifli mahu merangkul rakyat untuk bersama-sama agensi itu memerangi rasuah dan salah guna kuasa. Beliau tidak mahu agensi tersebut dilihat terasing daripada masyarakat.

Usaha beliau ternyata berhasil apabila dari semasa ke semasa sokongan rakyat kepada agensi itu semakin meningkat dan ini pernah dinyatakan oleh Dzulkifli yang menjelaskan, rakyat begitu gembira dan mengalu-alukan pendekatan agresif SPRM kerana mereka merupakan kelompok paling terkesan apabila kita berbicara berkenaan isu rasuah dan salah guna kuasa.

Apapun penganugerahan darjah oleh Yang di-Pertua Agong sudah pasti akan meniup semangat bukan sahaja kepada Dzulkifli dan Azam tetapi juga kepada keseluruhan pegawai serta anggota SPRM yang saban hari bertungkus lumus siang malam bagi membanteras gejala berkenaan.

Oleh itu penganugerahan tersebut boleh dianggap pengiktirafan terhadap perjuangan SPRM yang dipimpin oleh Dzulkifli untuk memastikan kelompok yang sanggup menjamah wang haram dengan menyalah gunakan kuasa dan rasuah dapat dihapuskan sama sekali dari bumi Malaysia.

Walaupun sejak kebelakangan ini ada pihak khususnya parti pembangkang mula menjadikan SPRM sebagai sasaran berikutan siasatan yang dijalankan oleh agensi itu, namun kita percaya Dzulkifli dan Azam tidak akan tergugat, sebaliknya akan terus memikul amanah dalam perjuangan atas niat kera­na Allah SWT.