Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri berkata, ramai tokoh ilmuwan di negara ini telah menerima pendidikan awal di Arab Saudi, malah ada antara mereka yang sudah bergelar ulama.

“Kita sebenarnya banyak terhutang budi dengan Raja Salman dalam sektor pendidikan Islam, graduan yang kembali dari Arab Saudi kebanyakannya akan menyumbang kepada perkemba­ngan institusi Islam sekali gus memperkukuhkan kedudukan Islam di negara ini.

“Kedua-dua negara memainkan peranan penting dalam mempertahankan kedaulatan agama Islam dan mempunyai visi dan misi yang sama menentang kekejaman terhadap umat Islam di negara-negara lain,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia, di sini hari ini.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kenyataannya menyifatkan lawatan Raja Salman bakal mengukuhkan lagi ikatan persaudaraan dan ekonomi yang boleh memberi manfaat kepada kedua-dua negara.

Sementara itu, Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd. Yusof Ahmad menganggap lawatan baginda sebagai satu pengiktirafan atas pencapaian dari segi kemajuan dan perkembangan agama Islam di negara ini.

“Selain mempunyai kerjasama erat dalam bidang pengurusan haji, baginda juga kagum dengan kemajuan dan perkembangan ekonomi Malaysia berikutan pencapaian yang luar biasa di peringkat dunia.

“Saya berharap kerajaan akan terus memperkukuhkan lagi hu­bungan erat antara dua negara ini bukan sahaja demi pembangunan ekonomi malah perkemba­ngan agama Islam,” ujarnya.