Berlatarbelakangkan daripa­da keluarga susah yang telah mendapat banyak manfaat daripada Dasar Ekonomi Baharu (DEB), beliau mengambil tanggungjawab tersebut sebagai peluang untuk kembali berbakti kepada negara.

Kini, selepas genap tiga tahun perkhidmatannya sebagai Ahli Dewan Negara dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Abdul Wahid memutuskan untuk mengundurkan diri daripada sektor awam bagi menyertai semula sektor swasta.

Menerusi sidang akhbar khas yang diadakan di pejabatnya di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, berikut adalah antara soalan petugas media yang dijawabnya mengenai keputusannya itu dan harapan untuk masa hadapan.

Ramai yang menjangkakan Datuk Seri akan berkhidmat sekurang-kurangnya enam ta­hun, kenapa menamatkan per­khidmatan sekarang?

ABDUL WAHID: Ketika me­nerima tugas ini, memang sudah jelas yang saya cuma akan berada untuk satu penggal sahaja iaitu tiga tahun. Saya sentiasa percaya yang saya adalah lebih kepada orang korporat.

Saya telah melakukan yang terbaik selama berada dalam kerajaan dan sekarang ini berhasrat untuk kembali ke sektor korporat. Saya tetap menyumbang kepada negara tetapi dengan cara lain.

Bagaimana penerimaan keluarga Datuk Seri mengenai keputusan tersebut dan apakah perancangan selepas ini?

Keluarga saya gembira de­ngan keputusan ini dan memang semasa terima pelantikan dahulu, mereka mengharapkan saya dapat kembali ke sektor korporat terutamanya dua anak perempuan yang berumur 12 dan 13 tahun.

Tentang rancangan selepas ini, saya ingin berehat dahulu dan beribadah di bulan Ramadan dengan lebih bermakna. Saya hendak kembali ke sektor korporat cuma belum ada keputusan di mana dan di kedudukan mana. Cuma kalau ditanya secara peri­badinya, saya amat meminati sektor hospitaliti dan pertanian. Tetapi kadang-kadang kita bukannya dapat be­kerja dalam bidang yang benar-benar minat.

Apakah antara pencapaian yang membanggakan Datuk Seri sepanjang tiga tahun berkhidmat?

Kalau hendak diikutkan, memang banyak tetapi antara yang utama adalah menerajui Unit Perancang Ekonomi untuk menyediakan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) yang telah dibentangkan di Parlimen Mei tahun lalu.

Saya juga telah memainkan peranan aktif dalam mesyuarat Kabinet, Majlis Ekonomi Bumiputera, Jawatankuasa Dasar Fiskal serta pelaksanaan konso­lidasi fiskal termasuk rasionalisasi subsidi dan pengenalan cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Saya juga telah mempe­ngerusikan Jawatankuasa Khas Ekonomi untuk membantu men­stabilkan pasaran kewangan dan meneruskan pertumbuhan ekonomi.

Selain itu, saya turut membantu dalam rundingan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) sehingga mendapat terma-terma yang sesuai termasuk pengiktirafan inklusif bumiputera. Saya telah membentangkan tiga rang undang-undang di Parlimen yang saya anggap satu penghormatan yang cukup unik.

Bagaimana Datuk Seri melihat usaha dalam memperkukuh­kan agenda ekonomi bumiputera?

Alhamdulillah, apabila Perdana Menteri melancarkan Program Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera, kita telah dapat laksanakan dan antaranya adalah penubuhan Majlis Ekonomi Bumiputera yang kita bermesyuarat setiap bulan.

Dari semasa ke semasa, kita umumkan pencapaian dan secara ke­seluruhannya kita sudah ada kemajuan. Tetapi saya percaya masih ba­nyak lagi yang perlu dilaksanakan kerana kita perlu faham bahawa agenda ekonomi bumiputera adalah satu agenda inklusif untuk memastikan tiada golongan ketinggalan dalam pembangunan.

Datuk Seri bukan berlatar­belakangkan politik, bagaimana Datuk Seri selama ini berhadapan perbahasan-perbahasan ha­ngat pembangkang di Parlimen?

Bagi saya, isu yang didebatkan dan dibincangkan perlu difokuskan dalam konteks fakta dan apa yang saya lakukan dalam bidang ekonomi pun adalah berasaskan fakta. Fakta adalah perkara asas, jangan dipolitikkan.

Dari semasa ke semasa, antara cabaran saya hadapi adalah apabila sesuatu isu itu dipolitikkan, tetapi saya percaya kalau kita fokus kepada fakta tanpa mempolitikkannya, insya-Allah kita dapat menjalankan tugas dengan baik.

ABDUL WAHID OMAR