Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan, Zaidi Yazid berkata, ia hasil kajian di peringkat antarabangsa selain menjadi antara anjakan Pelan Pemba­ngunan Pendidikan Malaysia melibatkan kerjasama ibu bapa, komuniti serta syarikat swasta bagi menjayakan sistem pendidikan negara.

Katanya, Kementerian Pendidikan menyambut baik dan menyo­kong penuh penganju­ran #mu­hibah-Pertandingan Vi­­­deo Pendek Utusan Malaysia/Utu­san Online anjuran Utusan Malaysia bersama Orando Hol­dings Sdn. Bhd. selaku penaja utama demi mencungkil kreativiti pelajar menggunakan teknologi baharu.

“Warga pendidik semua maklum kita berada dalam peringkat untuk merancakkan lagi pem­belajaran abad ke-21 yang mana pelajar bukan sahaja tahu me­ngenai teori atau menggunakan ilmu yang ada tetapi menggunakan pengetahuan ter­­masuk menghasilkan video,” ka­tanya ber­ucap melancarkan #muhibah-Pertandingan Video Pendek Utusan Malaysia/Utusan Online di Dewan Besar Utusan Melayu (M) Berhad di sini hari ini.

Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas berharap pertan­dingan itu dapat menerapkan sema­ngat keharmonian melalui konsep cerita.

“Kami di Kumpulan Utusan memikul tanggungjawab untuk terus memartabatkan bahasa Malaysia dan pertandingan ini merupakan satu daripada laluan dan platform untuk kami berbuat demikian,” katanya.

Sementara itu Pengarah Urusan Orando Holdings Sdn. Bhd., Datuk Dr. Eng Wei Chun berkata, pihaknya sangat gembira untuk bekerjasama dengan Kumpulan Utusan bagi menganjurkan pertandingan itu ke­rana melihat semangat muhibah sebagai aset menyatupadukan rakyat negara ini.