MICHAEL MANYIN JAWONG
MICHAEL MANYIN JAWONG

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi, Datuk Seri Michael Manyin Jawong berkata, pendekatan tersebut buat permulaan akan dilaksanakan pada sebuah sekolah sebagai projek rintis.

Katanya, ia bagi melihat keberkesanannya sebelum diperluaskan ke sekolah lain.

"Menerusi lawatan ke sekolah di Beijing, China baru-baru ini, saya melihat sekolah awam di sana menyediakan kemudahan tablet dan komputer kepada pelajar di bilik darjah.

"Cara ini cukup praktikal untuk dikembangkan di sini dalam usaha kerajaan negeri melangkah menuju era digital dan memudahkan proses pembelajaran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Innocate 2018 di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Batu Lintang, di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah IPG Kampus Batu Lintang, Jamiran Salam dan Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak, Abang Mat Ali Abang Masagus.

Seramai 1,000 pelajar dan guru dari 43 buah sekolah rendah dan menengah dari Kuching, Padawan, Samarahan, Lundu dan Serian menyertai karnival itu.

Tambahnya, jika China sudah mengguna pakai cara itu, Sarawak juga boleh mempraktikkannya. - UTUSAN ONLINE