Antara sistem yang sedia ada dan pernah dianggap kurang berisiko membawa maut termasuk penggunaan peluru getah, sistem taser dan penyembur lada, namun setiap sistem yang dinyatakan di atas mempunyai kelemahan ketara antaranya masih mempunyai risiko menyebabkan kematian, dan kadar penggunaan efektif dipengaruhi faktor jarak dan persekitaran.

Pengenalan sistem JPX Jet Protector dilihat mempunyai kelebihan daripada penyembur lada tradisional apabila pengoperasiannya kurang dipengaruhi oleh faktor persekitaran.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Fortress Defence Sdn. Bhd., Carliff Ridzwan Carleel, selain daripada ketepatan, ia juga mempunyai kelebihan dari segi jarak semburan.

"Bagi penyembur lada tradisional, apabila semburan dibuat, ia akan turut menyebabkan individu yang berada berhampiran terkesan sama.

"Bagi JPX Jet Protector, ia hanya memberi kesan pada sasaran yang dihalakan, dan mempunyai jarak efektif sejauh 7 meter," kata Carliff yang ditemui pada Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) ke-16 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.

Sementara itu, menurut Ketua Pengarah Penjara, Datuk Seri Zulkifli Omar, Jabatan Penjara Malaysia merupakan penjara pertama di dunia yang menggunakan sistem senjata ini.

Beliau berkata demikian sejurus majlis penyerahan yang disempurnakan oleh Pengerusi Fortress Defence Sdn. Bhd., Tunku Mohamed Alauddin Tunku Naquiyuddin kepada beliau.

Sistem yang dibangunkan di Switzerland dan telah digunakan di 42 buah negara ini mempunyai dua model asas iaitu dua dan empat kartij, di samping mempunyai kerangka modular yang boleh dipasang dengan aksesori seperti lampu suluh dan laser penanda sasaran.

Kekuatan penyembur lada diukur pada skala oleoresin capsicum (OC), dan bagi setiap katrij 'peluru' senjata ini, kekuatannya adalah pada 4 juta OC. - UTUSAN ONLINE