Menteri Pendidikan, Maszlee Malik berkata, buat masa ini pihaknya sedang menyiasat dakwaan itu selepas menerima laporan yang dihantar kepada kementeriannya semalam.

“Sebagai langkah berjaga-jaga saya telah mengarahkan pihak kementerian untuk menutup sistem tersebut buat sementara waktu.

“Pada masa sama, pihak kementerian juga sedang menjalankan analisis keselamatan yang mendalam bagi mengesan kelemahan terhadap sistem tersebut dan satu tindakan segera akan diambil sejurus masalah tersebut diatasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, Maszlee berkata, beliau bagi pihak kementerian memohon maaf di atas masalah tersebut dan berjanji untuk melihatnya secara teliti dan akan mengambil tindakan dengan segera.

Mengulas lanjut, Maszlee berkata, biar pun sistem SAPS digantung seketika, laman sesawang dan aplikasi lain yang melibatkan Kementerian Pendidikan berfungsi seperti biasa.

SAPS merupakan sistem analisis peperiksaan sekolah yang diwujudkan oleh kementerian bagi memudahkan ibu bapa membuat semakan keputusan peperiksaan sekolah.

Sistem ini merupakan sistem yang kerap kali digunakan oleh guru-guru dan juga ibu bapa. Bagi guru, ia diperlukan bagi memasukkan  markah peperiksaan pelajar. Dalam bahasa lainnya, key-in markah pelajar. Manakala bagi ibu bapa pula ia perlu untuk membuat semakam keputusan peperiksaan anak-anak di sekolah. - UTUSAN ONLINE