Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, langkah ini perlu bagi memastikan kerajaan negeri dimaklumkan mengenai setiap aktiviti yang dilakukan di negeri ini yang menggunakan jata tersebut.

Jata Melaka
Jata Melaka 

Katanya, arahan itu juga dibuat bagi mengelak penyalahgunaan oleh pihak tertentu sedangkan aktiviti berkenaan langsung tidak melibatkan kerajaan negeri.

“Kita menetapkan supaya selepas ini pihak NGO dan swasta yang ingin menggunakan jata negeri supaya mendapat kebenaran atau memaklumkan terlebih dahulu kepada pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri.

“Ada beberapa kes pernah berlaku di mana tujuan mereka baik tetapi kita (kerajaan negeri) sendiri tidak tahu majlis atau program itu diadakan kerana mereka menggunakan jata tanpa kebenaran atau makluman,” katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di pejabatnya di Seri Negeri di sini sebentar tadi.

Menurut Adly, kerajaan negeri akan merujuk kepada undang-undang negeri jika ada pihak yang dikesan menggunakan jata tersebut tanpa pemakluman.

Malah kata beliau, program atau acara yang dibuat dengan kerjasama kerajaan negeri Melaka juga perlu mendapat kebenaran terlebih dahulu daripada pejabat SUK bagi memastikan tiada penyalahgunaan dalam perkara tersebut.

“Jata melambangkan milik kerajaan negeri dan walaupun lambang itu mudah diperolehi dari internet, penggunaannya mesti mendapat kelulusan juga.

“Kita sambut baik usaha pihak luar yang ingin mengadakan program di Melaka cuma kerajaan negeri perlu membuat kawalan di peringkat awal supaya tidak disalahgunakan,” katanya. - UTUSAN ONLINE