SYED MOHAMMAD FAIZ AZEMMANT
SYED MOHAMMAD FAIZ AZEMMANT

Presiden Pertubuhan Anak Kelahiran Pahang (PAKP), Datuk Syed Mohammad Faiz Azemmant berkata, kebebasan menggunakan media sosial menjadi satu kuasa tanpa batasan yang boleh disalahgunakan oleh sesiapa sahaja malah jelas merosakkan generasi muda.

Justeru katanya, sekatan itu bertujuan menghalang laman-laman web lucah dan berita tidak benar yang semakin banyak di internet daripada diakses oleh rakyat terutama kanak-kanak serta remaja yang mudah terpengaruh.

“Tidak perlu menyalahkan persekitaran di luar rumah jika kerosakan akhlak dan penularan perkara negatif begitu mudah diperoleh melalui media alternatif di rumah. Jelas sekali kerosakan akhlak boleh bermula di rumah dan kemudiannya ‘dikongsi’ bersama rakan di luar.

“Pelbagai sekatan sudah wujud di negara ini seperti pembelian rokok, had umur masuk ke pusat hiburan, ambil lesen memandu, layak bekerja dan berkahwin tetapi negara kita masih tiada sekatan terhadap pelayar unternet,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Syed Mohammad Faiz berkata, kawalan terhadap internet lebih mudah dilakukan daripada cuba memperbaiki kerosakan minda yang telah menimpa masyarakat kesan daripada terpengaruh dengan perkara-perkara tidak baik.

“Semua laman web lucah yang ada sekarang mudah diakses, bayangkan jika kanak-kanak terdedah dengan perkara-perkara yang tidak sepatutnya, mereka akan membesar dengan semua keburukan dan tidak baik untuk pembentukan masyarakat.

“Kerajaan juga perlu memberi fokus kepada pendidikan moral dan unsur keagamaan dalam memastikan rakyat negara ini membesar dengan nilai-nilai murni,” katanya.

Menurutnya, Malaysia mampu menjadi negara maju walaupun golongan bawah umur disekat menggunakan internet kerana banyak negara melakukan tindakan sedemikian.

“Lihat saja negara yang menyekat penggunaan Internet serta medium laman sosial seperti China, Korea Utara, Iran dan Turki, mereka sedar ancaman yang bakal dihadapi jika tiada sekatan dikenakan ke atas warganegara mereka,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE