Perkhidmatan prabayar tersebut tertakluk dibawah SST sebanyak enam peratus.

Sebagai contoh, apabila pengguna membuat tambah nilai sebanyak RM10 maka mereka hanya menerima kredit sebanyak RM9.43 secara dalam talian, manakala bakinya iaitu sebanyak RM0.57 akan dicukaikan.

Perkembangan tersebut sekali gus mengundang rasa kurang selesa dalam kalangan mereka selain ada yang secara sinis menyindir kerajaan Pakatan Harapan kononnya perlaksanaan SST ini tiada bezanya dengan cukai barang dan perkhidmatan (GST), kerana para pengguna perkhidmatan itu masih terasa beban.

Seorang pengguna, Nor Ain Che Omar, 31, berkata, selepas menambah nilak kad prabayar telefon bimbit hari ini, dia mendapati kreditnya dipotong sebanyak RM0.57 bagi kad tambah nilai RM10.

Katanya, sepatutnya kad tambah nilai itu tidak dikenakan cukai memandangkan kebanyakan rakyat di negara ini menggunakan talian prabayar.

“Saya berharap kerajaan mengkaji semula perkara ini meskipun perlaksanaan SST sudah mula dilaksanakan. 

“Jumlah kredit dipotong bagi kad tambah nilai RM5 dan RM10 mungkin nampak sikit tetapi bagi kad tambah nilai RM50 atau RM100 sekurang-kurangnya, RM6 dipotong. Tidakkah itu membebankan pengguna,” katanya ketika ditemui di sini.

Seorang lagi pengguna, Nor Suhufi Ibrahim, 19, berkata, kad tambah nilai prabayar telefon bimbit tidak sepatutnya dipotong kerana akan membebankan orang ramai khususnya golongan pelajar.

“Apabila GST digantikan dengan SST, saya ingat harga barangan dan perkhidmatan akan turun tetapi situasi tetap juga sama. Sekurangnya-kurangnya GST ini kita tahu apabila tertera di resit cukai yang dikenakan tetapi SST ini pula didapati tersembunyi,” katanya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia di sekitar negeri ini sempena hari pertama perlaksanaan SST mendapati hanya rangkaian restoran makanan segera yang mengenakan cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus.

Bagi pasar raya dan kedai-kedai runcit pula, harga jualan masih pada kadar sama tetapi dijangka mengalami kenaikan selepas mereka mengambil stok baharu selepas ini.

Bagi seorang pemilik kedai runcit yang enggan namanya didedahkan berkata, harga barang khususnya barangan keperluan masih tidak naik buat masa ini.

“Selepas stok baharu tiba nanti, mungkin harga juga sudah berlainan berikutan perlaksanaan SST ini,” katanya.- UTUSAN ONLINE