Ketua Pengurusan Aset Anih Berhad, Radzimah Mohd. Radzi berkata, dianggarkan peningkatan trafik akan berlaku sebanyak 70 peratus bagi KLK dan 65 peratus bagi LPT1 pada hari kemuncak berbanding hari-hari biasa.

“Kita harap orang ramai rujuk cadangan waktu perjalanan yang telah dikeluarkan di saluran media seperti Twitter dan Facebook untuk mengelak daripada terperangkap dalam kesesakan jalan raya.

“Cadangan disediakan untuk memecahkan trafik waktu perjalanan kepada tiga bahagian iaitu Pahang, Terengganu dan Kelantan supaya tidak berlaku pertembungan bagi mengelak kesesakan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini. Turut sama Ketua Panel Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Kumpulan MTD, Nik Firdaus Tan Sri Hussein.

Menurut Radzimah, bagi melancarkan operasi di musim perayaan, syarikat turut meningkatkan jumlah jurutol bagi mempercepatkan transaksi pembayaran di semua plaza tol.

“Untuk keselesaan pengguna dan kelancaran lalu lintas di setiap plaza tol, pengguna disarankan untuk memastikan baki kad prabayar 'Touch n Go' sentiasa mencukupi.

“Untuk makluman, lorong tambah nilai akan ditutup sekiranya trafik mulai padat untuk mengelak kesesakan di plaza tol namun pengguna boleh mengunjungi mana-mana pusat khidmat pelanggan (PKP) atau kiosk layan diri yang telah disediakan.

Tambahnya, Anih Berhad turut memberikan diskaun tol sebanyak 50 peratus kepada semua kelas kenderaan pada 13 dan 14 Jun ini.