Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, inisiatif itu dijangka dapat memberi manfaat kepada 94,000 pengguna komuter setiap hari bagi jajaran Port Klang-Tanjung Malim, Batu Caves-Seremban, Padang Rengas-Butterworth, Butterworth-Padang Besar dan Sungai Gadut-Tampin.

Malah katanya lagi, pengguna sistem transaksi tanpa wang antaranya kad MyKad dan Touch 'N GO yang sedia ada yang sudah mendapat potongan harga 20 peratus turut menerima tambahan 20 peratus lagi.

"Mesyuarat Kabinet hari ini telah meluluskan cadangan Kementerian Pengangkutan untuk memperkenalkan diskaun 20 peratus bagi semua tambang komuter.

"Menerusi pengumuman ini, dijangka memberi implikasi kewangan RM43 juta kepada Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) yang bakal mengalami kekurangan jumlah pendapatan, tetapi Perbadanan Aset Kereta Api (RAC) akan menampung kekurangan itu," katanya dalam satu sidang akhbar, di sini hari ini.

Menurut Anthony lagi, pihaknya berharap menerusi inisiatif itu dapat meningkatkan bilangan penumpang sehingga 20 peratus iaitu antara 120,000 hingga 130,00 orang pada setiap hari.

Katanya lagi, selain itu ia bertujuan bagi membantu kehidupan rakyat memandangkan pengangkutan awam merupakan penyumbang ketiga kepada kos sara hidup mereka.

"Kita akan menyemak semula pemberian insentif ini pada setiap tahun, namun sudah tentunya berharap usaha baik ini dapat teruskan.

"Jika mendapat sambutan baik iaitu dapat meningkatkan bilangan penumpang, maka ia dapat mengurangkan jumlah subsidi kerajaan," katanya. - UTUSAN ONLINE