Pelbagai masalah diketengahkan dalam prosedur tuntutan termasuk perkhidmatan diterima tidak seperti dijanjikan, malah ada juga ditipu bulat-bulat.

Pengerusi TTPM, Wan Rufaidah Wan Omar (gambar) berkata, isu pengusaha katering bukanlah perkara baharu dan ia berlaku saban tahun.

Menurut beliau, ramai orang mengadu ditipu oleh pengusaha katering termasuklah mereka yang menipu untuk mengaut keuntungan atas angin.

“Isu sedemikian merupakan satu bentuk penganiayaan kepada pengguna yang ingin mendapatkan perkhidmatan tersebut bagi tujuan majlis tertentu terutamanya perkahwinan.

“Memang jelas wujud individu tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan terhadap mereka yang memerlukan perkhidmatan itu.
“Bayangkan jika katering yang diharapkan untuk menyediakan makanan bagi sesuatu majlis, bila tiba hari berlangsung, semua itu tidak ada ataupun perkhidmatan tidak seperti dijanjikan,” katanya kepada Utusan Malaysia Sabtu.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan tindakan pengusaha katering tidak menepati janji dengan menyediakan hidangan tidak seperti yang dipersetujui pada awal perbincangan.

Tambah beliau, tindakan sedemikian sememangnya mendatangkan kerugian kepada pengguna yang mengeluarkan sejumlah besar wang untuk mendapatkan perkhidmatan tersebut.

“Saya kesal dengan sikap sesetengah pengusaha katering yang tidak bertanggungjawab, sekadar memberikan hidangan tetapi tidak patuh pada perjanjian dipersetujui.

“Sebagai contoh, kita minta air buah tetapi yang dihidangkan air sirap. Selain itu, makanan lambat sampai, basi, tidak sedap dan sebagainya.

“Kalau jadi hal sedemikian, pengguna ada hak membuat tuntutan ganti rugi dan mereka boleh kemukakannya kepada mahkamah TTPM,” jelasnya.

Dalam masa sama, beliau turut menasihatkan orang ramai agar meneliti dahulu sesuatu pakej katering sebelum membuat tempahan termasuk mencari testimoni pelanggan terdahulu.

Wan Rufaidah memberitahu, pengguna juga boleh mengubah terma perjanjian sebelum membuat sebarang persetujuan sehingga berpuas hati dengan perkhidmatan yang akan disediakan.