Timbalan Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP, Datuk Iskandar Halim Sulaiman berkata, setakat ini, pihaknya tidak dapat mengenal pasti siapakah dalang di sebalik kegiatan tersebut disebabkan masih belum menerima sebarang aduan daripada pengguna.

“Selepas menerima aduan, kita akan kumpul maklumat dan siasatan lanjut akan dijalankan sebelum tindakan tegas diambil ke atas peniaga yang mengaut keuntungan atas angin terbabit.

“Kita percaya, taktik ini mungkin digunakan kepada individu tertentu terutamanya orang awam yang terdesak ingin membeli motosikal walaupun deposit dan dokumen yang dipinta tidak mencukupi” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian susulan pendedahan laporan eksklusif Utusan Malaysia semalam berhubung taktik yang digunakan segelintir pihak termasuk syarikat penjual motosikal bagi mengaut keuntungan sampingan dengan mengenakan caj memproses pinjaman sedangkan pihak terbabit mengetahui peminjam sukar untuk mendapatkan kelulusan daripada syarikat kewangan.

Mengulas berkenaan iklan yang sering digunakan oleh kedai menjual motosikal untuk menarik perhatian orang ramai, KPDNHEP menasihatkan orang awam mengabaikan segala iklan yang mengelirukan serta tidak masuk akal tersebut.

“Sebaiknya, buat aduan kepada kementerian untuk mengekang masalah berkenaan. Kerjasama orang ramai amat diperlukan agar maklumat yang diterima tepat terutamanya lokasi, masa dan sebagainya.

“Saya menyeru pengguna supaya berhati-hati ketika membuat urusan pembelian motosikal di mana-mana kedai di seluruh negara. Jangan terpengaruh dengan tawaran serta caj rendah semata-mata, ambil kira juga kesan yang akan diterima kelak ,” katanya.