Bagi merealisasikan hasrat tersebut, Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dan memberikan bantuan kepada mana-mana penggiat seni yang berminat melaksanakannya.

Menterinya, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, cadangan itu sudah dibincangkan dengan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat, Datuk Wan Mohd. Nor Ibrahim.

“JBPM sudah mempunyai imej yang baik serta diyakini rakyat dan untuk menambah baik keyakinan itu, apa salahnya kita filemkan kehidupan anggota penyelamat ini.

“Kementerian bersedia membantu dan bekerjasama dengan penggiat seni terbabit dalam pelbagai perkara seperti peralatan dan khidmat nasihat mengenai prosedur dan tanggungjawab seorang anggota bomba untuk difilemkan,” katanya selepas merasmikan Ibu Pejabat JBPM yang baharu di sini hari ini.

Selain Wan Mohd. Nor, yang turut hadir, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Arpah Abdul Razak dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Latif Bandi dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Johor, Datuk Ab. Ghani Daud.

Bangunan baharu JBPM yang terletak di Jalan Kangkar Tebrau di sini mula dibina pada 17 Mac 2009 di atas tanah seluas 3.2 hektar dan menelan belanja kira-kira RM19.84 juta.

Bangunan itu menempatkan lima bahagian yang terdiri daripada Bahagian Operasi dan Kebombaan, Bahagian Penyiasatan Kebakaran dan Pendakwaan, Bahagian Ke­selamatan Kebakaran, Bahagian Latihan dan Bahagian Pengurusan serta sebuah pejabat Pusat Gerakan Operasi.