Perdana Menteri berkata, peranan golongan itu bukan hanya dalam sudut industri kreatif dan hiburan semata-mata tetapi juga membentuk rupa bangsa.

Katanya, kerajaan hendak melihat masyarakat mempunyai minda seperti khaira ummah iaitu sikap dan budayanya bergantung kepada golongan penggiat seni.

“Golongan penggiat seni perlu dijadikan model ikutan atau role model kerana jika mereka menjadi ikutan yang cemerlang, mereka bakal membantu membentuk generasi akan datang dan mengangkat negara serta aspirasi kita.

“Penggiat seni adalah merupakan komponen yang penting dalam rakyat. Setiap persembahan, drama atau lagu mereka berkomunikasi dengan rakyat tetapi apa mesejnya?

“Soal ini juga penting dalam menentukan masa depan negara. Malaysia tidak boleh diperlekehkan dan tidak boleh menjadi negara rate kedua, kita hendak jadi yang pertama,” katanya yang berucap pada Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) Bersama Perdana Menteri: Segmen Penggiat Seni di Seri Perdana di sini malam ini.
 Yang turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak.

Segmen dialog itu dikendalikan pelakon Datuk Rosyam Nor selaku moderator.

Seramai 500 orang yang terdiri daripada pelakon, penyanyi, pengacara televisyen dan selebriti agama menyertai Dialog TN50 Bersama Perdana Menteri: Segmen Pengiat Seni.

Antara individu yang hadir adalah pengarah, Datuk Yusof Haslam; penyanyi, Datuk DJ Dave; pengacara terke­nal, Datuk Aznil Nawawi dan pelawak Harith Iskandar.