Bagaimanapun, Pengerusi LPA Yapeim, Datuk Dr. Mohd. Daud Bakar berkata, pihaknya sudah pun mengambil maklum tentang rakaman video tersebut.

Namun, katanya, pihaknya tidak menjadikannya sebagai satu-satunya asas pertimbangan berkenaan untuk menggantung sementara perkhidmatan ketua pengarah berkenaan.

“Asas utama penggantungan perkhidmatan Ketua Pengarah Yapeim adalah bagi membolehkan pihak Yapeim melaksanakan proses siasatan dalaman berhubung dakwaan salah laku selaras dengan dapatan laporan audit oleh PwC baru-baru ini.

“Penggantungan perkhidmatan adalah suatu proses standard di dalam mana-mana organisasi jika terdapat kemungkinan dakwaan salah laku di mana seseorang staf boleh disiasat berdasarkan kepada peraturan dalaman organisasi tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Selasa lalu, Ketua Pengarah Yapeim, Datuk Abibullah Samsudin digantung sementara perkhidmatannya bagi membolehkan siasatan yang menyeluruh berkaitan dakwaan salah laku, dapat dijalankan.

Sepanjang penggantungan tersebut, tugas-tugas Ketua Pengarah akan dipangku oleh Pengarah Kanan Yapeim, Parihah Hasan.

Parihah adalah pemegang Ijazah Sarjana Muda Perakaunan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan merupakan Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Strategik Yapeim.

Sementara itu, tambah Mohd. Daud, pihaknya memohon kerjasama pelbagai pihak terutamanya dalam media sosial untuk menghentikan segala spekulasi bahawa asas penggantungan sementara perkhidmatan Abibullah berkait rapat dengan rakaman ucapan tersebut.

“Penggantungan sementara tugas itu bagi membolehkan pihak LPA Yapeim menjalankan tugas dengan sewajarnya,” ujarnnya. -UTUSAN ONLINE