Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, sejak kebelakangan ini, dunia berdepan dengan pelbagai konflik kemanusiaan, politik, agama dan keruntuhan moral anggota masyarakat.

Katanya, situasi itu telah mendorong lahirnya pelbagai kumpulan, ideologi, fahaman dan cara berfikir.

Menurutnya, yang menjadi kebimbangan adalah usaha pihak berkenaan untuk melebarkan pengaruh masing-masing ke serata pelosok dunia, tidak terkecuali Malaysia.

“Pelbagai medium digunakan bagi tujuan meluaskan pengaruh ini dan antara yang paling berkesan adalah melalui filem.

“Agenda kumpulan pengganas Daesh, ajaran Islam yang bertentangan dengan anutan ahli Sunah Wal Jamaah, tuntutan gerakan hak asasi manusia yang melampau dan kebebasan seks adalah antara pengaruh yang cuba di­sebarluaskan melalui filem ke negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Perasmian Program Pendi­di­kan dan Pencegahan ‘Juh Gi Munjan’ anjuran Kementerian Da­lam Negeri (KDN) di sini hari ini.

Mengulas lanjut Nancy berkata, bagi mengekang penularan pengaruh negatif yang dibawa melalui filem, masyarakat secara keseluruhannya tidak terkecuali bagi menyokong usaha kerajaan membanteras filem lucah dan tidak bertapis di Malaysia.

Justeru katanya, ‘Juh Gi Munjan’ yang berlangsung selama dua hari merupakan program yang mendatangkan manfaat kepada masyarakat di bahagian ini kerana menggabungkan pelbagai aktiviti menarik termasuk khidmat masyarakat, tayangan wayang pacak, ceramah, dialog, bengkel seni lakon, pameran dan pertan­dingan futsal antara agensi-agensi.

Jelasnya, KDN melalui Bahagian Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan negeri te­lah dipertanggungjawabkan un­­tuk menguatkuasakan Akta Pe­na­pisan Filem 2002 di Sarawak bagi memastikan rakyat negeri ini tidak terdedah kepada gejala tidak sihat yang disebarkan melalui filem sehingga berupaya menjejaskan aspek keselamatan dan ketenteraman awam, keagamaan, sosiobudaya, ketertiban dan tatasusila.