Recep Tayyip Erdogan

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan berkata, jika anggota dan mereka yang bersimpati dengan Pertubuhan Keganasan Fethullah (Feto) termasuk pemimpin, Fethullah Gulen yang melarikan diri ke Amerika Syarikat berfikir pengganas ini boleh terus bersembunyi, ternyata kini silap.

“Di mana sahaja kamu berada, kita akan cari sehinggalah ke lubang cacing termasuk yang berada di Pennsylvania, Amerika Syarikat. Kita tidak akan lupakan mereka, yang kita tahu mereka telah mengkhianati negara ini dan melakukan keganasan.

“Mereka tidak akan kalahkan (kekuatan) kita, mereka tidak akan pecah-pecahkan (bangsa) kita, me­reka tidak akan koyak-koyakkan bendera kita, mereka tidak akan musnahkan nasib kita, mereka tidak akan hancurkan negara kita, mereka tidak akan rosakkan masa depan kita,” ucap beliau di hadapan puluhan ribu rakyat Turki yang hadir memperingati ulang tahun pertama cubaan rampasan kuasa pada 15 Julai tahun lalu.

Erdogan tiba di dataran Dewan Besar Kebangsaan Turki (GNAT) di sini tepat pada pukul 2.32 pagi – masa yang sama bangunan Parlimen Turki itu dibom dan dibedil oleh jet pejuang serta helikopter penggempur dalam cubaan rampasan kuasa secara tidak demokratik setahun lalu.

Pada 15 Julai tahun lalu, sejumlah 249 orang terbunuh dan disifatkan sebagai mati syahid, manakala lebih 2,000 yang lain tercedera dalam cubaan rampasan kuasa yang berjaya dipatahkan pada keesokan harinya.

Erdogan berkata, para ibu boleh­lah berhenti menangis kerana semua yang melakukan keganasan akan dibawa di hadapan mereka untuk diadili.”

Katanya, Turki kehilangan ramai orang dikasihi sepanjang sejarah beberapa rampasan kuasa di negara ini dan dalam banyak siri keganasan yang telah berlaku.

“Maka, kita tidak boleh lupakan yang terbunuh kerana mereka mati syahid. Lagipun, semua mereka itu juga adalah keluarga kita.”

Menurut Erdogan, sejarah beribu-ribu tahun Turki jelas me­nunjukkan Turki merupakan satu bangsa yang kuat kerana mereka berjaya melepasi pelbagai cabaran dan halangan di rantau ini.

“Semua ini menjadikan kita le­bih kuat. Justeru, jika berlaku lagi rampasan kuasa, baik esok atau lusa, rakyat Turki akan bangkit dengan berani dan menentang semua mereka sehingga pengkhianat itu melutut (di hadapan kita).”

Beliau berkata, peristiwa cuba­an rampasan kuasa 15 Julai itu juga mendedahkan kepada Turki siapa kawan dan lawannya.

“Selepas 15 Julai itu, Turki tahu siapa kawan dan lawannya. Kita dapat tahu negara mana yang menyokong kita. Kita juga berasa kecewa dengan negara-negara yang tidak kita,” jelasnya. – Utusan