Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, peraturan-peraturan dan pekeliling sebelum ini sudah menjelaskan kuasa merotan terletak di bawah kuasa pengetua dan guru besar sekolah bagi menghukum pelajar atau murid yang melakukan ke­salahan disiplin.

“Bagaimanapun, hukuman me­rotan yang akan dilakukan perlu mengikut garis panduan yang ditetapkan. Mereka tidak boleh merotan pelajar seperti dilakukan ke atas pesalah dalam penjara.

“Hukuman merotan juga masih boleh dilakukan di khalayak ramai iaitu ketika waktu perhimpunan mengikut budi bicara pengetua atau guru besar tetapi sekarang tidak lagi dilakukan. Hukuman merotan kini sebaliknya di dalam bilik,” katanya selepas Majlis Penutup Konvensyen Kebangsaan Sekolah Kluster Kecemerlangan 2017 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi dekat sini, hari ini.

Beliau mengulas langkah Kementerian Pendidikan sedang meneliti memberi kuasa merotan kepada semua guru dalam usaha menangani masalah sosial pelajar dan murid.

Yang turut hadir Naib Canselor UKM, Prof. Tan Sri Dr. Nor Azlan Ghazali.

Mahdzir berkata, pelaksanaan hukuman ke atas pelajar yang melakukan kesalahan disiplin ketika ini sudah berbeza berbanding dahulu.

“Kita kini berada di dua zaman yang berlainan. Segmen yang kedua ini susah (sukar me­ngenakan hukuman) tidak boleh didedahkan pada orang ramai dan memalukan mereka (pelajar) walaupun mereka melakukan kesalahan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak 145 sekolah berprestasi tinggi (SBT) berjaya diwujudkan daripada 550 sekolah kluster kecemerlangan (SKK) selepas 10 tahun pelaksanaannya di bawah Pelan Induk Pembangunan Pendidikan 2006-2010.

“SKK yang mula diperkenalkan pada 2007 menyaksikan 555 sekolah secara berperingkat-peringkat berjaya menjadi model sekolah cemerlang kepada sekolah-sekolah lain dalam sistem pendidikan sehingga tahun ini.

“Lebih membanggakan 145 sekolah kluster kecemerlangan berjaya dinaik taraf kepada sekolah berprestij tinggi,” katanya.