Ahli Parlimen Pasir Gudang itu sedih apabila Perdana Menteri, Menteri Luar atau Menteri Pertahanan termasuk timbalan-timbalannya memekakkan telinga sehingga kini.

"Singapura membuli Menteri Besar Johor dan menjadikan Menteri Besar Johor sebagai kambing

HASSAN ABDUL KARIM
HASSAN ABDUL KARIM 

hitam dan punching bag manakala pemimpin-pemimpin di Putrajaya ambil sikap tidak peduli.

"Pemimpin-pemimpin kerajaan Johor juga ambil sikap membisu dan kelu seribu bahasa membiarkan Datuk Osman Sapian mempertahankan diri seorang diri menghadapi tuduhan-tuduhan liar Singapura sedangkan beliau menjalankan tugasnya demi mempertahankan kedaulatan wilayah dan maruah negara dan negeri ini," katanya dalam satu kenyataan di sini sebentar tadi.

Pejabat Kementerian Luar Singapura baru-baru ini mengumumkan hasrat menangguhkan Mesyuarat Tahunan Jawatankuasa Bersama Peringkat Menteri Malaysia-Singapura untuk Iskandar Malaysia (JMCIM) yang dijadualkan berlangsung hari ini, susulan dakwaan pencebohan kapal dinaiki Osman ke perairan republik itu oleh sebuah portal berita negara jiran tersebut.

Sebelum itu Osman menegaskan tidak menceroboh perairan Singapura Rabu lalu sebaliknya mahu melawat kawasan perairan negeri ini dan itu merupakan haknya sebagai ketua kerajaan Johor.

Hassan berkata, sikap pemimpin-pemimpin kerajaan Persekutuan dan negeri yang seolah-olah bacul dan dayus kerana membiarkan Osman diserang Singapura tanpa dibela sewajarnya dan selayaknya dengan kedudukannya sebagai Menteri Besar amatlah dikesalkan.

"Sebagai Ahli Parlimen Malaysia dan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat Negeri Johor yang menjadi sebahagian dari tunggak yang menyokong kerajaan Pakatan Harapan di Malaysia dan di Johor saya berhak menimbulkan perkara ini dan menuntut jawapan kerajaan," katanya.

Jelas beliau, perkara itu akan dibangkitkan secara rasmi di Parlimen apabila persidangan bermula pada Mac ini.