Menteri Pembangunan Luar Bandar, Rina Mohd. Harun berkata, calon tersebut diyakini mampu membantu Mara menjadi sebuah agensi berdaya saing seterusnya menaikkan taraf ekonomi Bumiputera.

“Sebelum ini ramai yang ternanti-nanti siapa yang akan diumumkan sebagai Pengerusi Mara dan Rabu depan kita akan umumkan individu tersebut.

“Kita hendak orang yang profesional dan betul-betul boleh membantu Mara kerana ia sebuah institusi yang besar yang menjaga pendidikan, ekonomi dan keusahawanan kaum Bumiputera,” katanya.

Beliau ditemui selepas merasmikan program Memacu Ekosistem Rangkaian dan Capaian Usahawan (MERCU) dengan tema Aspirasi Keusahawanan Bumiputera di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini sebentar tadi.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan negeri, Mohd. Rafiq Naizamohideen; Timbalan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Norison Ramli; Ketua Pengarah Mara, Datuk Azhar Abdul Manaf dan Pengarah Mara Melaka, Abd. Wahab Yusof.

Jawatan Pengerusi Mara kosong berikutan penyandangnya, Tan Sri Annuar Musa digantung tugas berkuat kuasa 31 Januari tahun lalu apabila beliau disiasat berhubung kes penyalahgunaan kuasa.

Sementara itu, Rina dalam ucapan perasmian memaklumkan, kerajaan sedang membangunkan Program Pembangunan Usahawan Profesional (Prospec) bagi meningkatkan bilangan usahawan khususnya dalam 12 bidang profesional di negara ini pada masa akan datang.

Menurut beliau, antara bidang profesional yang terlibat menerusi program ini adalah perubatan, farmasi, pergigian, perakaunan, guaman dan lain-lain.

“Prospec merupakan strategi kerajaan untuk menambah bilangan guna tenaga Bumiputera dalam bidang ikhtisas dan profesional.

“Selain itu ia juga bertujuan meningkatkan penguasaan Bumiputera secara aktif dalam sektor perniagaan, perdagangan dan sektor korporat,” katanya.

Mengulas lanjut, Rina berkata, banyak lagi program dilaksanakan oleh Mara bagi membantu para usahawan untuk mencapai kejayaan di peringkat mercu atau yang terbaik.

“Kalau kita tanya kepada usahawan berjaya sebagai contoh Siti Khadijah, tidak pernah mereka ini menyatakan kejayaan yang dicapai itu datang bulat-bulat sebaliknya ia memerlukan usaha yang gigih.

“Para usahawan perlu memastikan bidang pemasaran produk dapat dipertingkatkan bagi membolehkan ia diperluaskan ke peringkat antarabangsa,” katanya. - UTUSAN ONLINE