Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pada peringkat awal, kesemua 16,500 Pengerusi JKKK atau ketua kampung itu dikehendaki mengikuti kursus bagi mendapatkan Sijil Tadbir Urus Desa yang dikeluarkan oleh Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

“Bagi pusingan kedua, kita memberi pilihan kepada ketua kampung dengan menyediakan modul untuk peringkat diploma dan lain-lain.

“Kita mahu suatu hari nanti ketua kampung ini menjadi golongan yang profesional dalam menguruskan kampung mereka setaraf dengan pegawai-pegawai jabatan kerajaan yang lain,” kata­nya dalam sidang akhbar selepas menyampaikan watikah pelantikan Pengerusi JKKK di Dewan Maj­lis Daerah Bera di sini hari ini.

Terdahulu, beliau turut me­nyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada kira-kira 300 penerima yang tidak mempunyai akaun bank.

Menurut Ismail Sabri, semua ketua kampung di seluruh negara akan mengikuti kursus tadbir urus desa selama tiga hari dikendalikan UniKL secara berperingkat mengikut zon yang ditetapkan.

Sehingga kini, kata beliau, pihaknya telah selesai mengadakan kursus berkenaan di zon tengah dan selatan iaitu melibatkan Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor.

“Modul kursus yang mendapat pengiktirafan kerajaan ini meliputi segenap aspek pentadbiran yang bersesuaian seperti pengurusan kampung, kewangan dan kepemimpinan,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, dalam usaha mentransformasikan kerjaya ketua kampung, pihaknya memberikan tanggungjawab lebih besar kepada mereka termasuk memantau projek kerajaan dan melaksanakan program membaik pulih rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin.

“Ketua kampung kini diberi tanggungjawab besar bagi membantu kerajaan, bukan hanya sekadar menandatangani surat pengesahan tetapi lebih daripada itu,” katanya.