Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Rina Harun berkata, pelantikan Dr. Hasnita Hashim dan enam ahli berkenaan berdasarkan merit dan profesionalisme masing-masing.

Kata beliau, latar belakang kesemua yang dilantik itu dipercayai mampu menyumbang penambahbaikan terhadap Mara khususnya dalam bidang pendidikan, pelaburan dan usahawan.

“Tiada, bukan lantikan Tun. Biasalah kalau lantik orang politik, ada cakap ini lantikan politik, apabila lantik golongan profesional, ada juga cakap.

“Saya raikan kepelbagaian pandangan tersebut tapi kita harap kita cuba sedaya upaya membuat perubahan untuk kebaikan Mara,” katanya dalam sidang akhbar di ibu pejabat Mara, Jalan Raja Laut, di sini hari ini.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan Hasnita yang juga Pengerusi Maybank Asset Management Group sebagai Pengerusi Mara.

Kenyataan tersebut turut mengumumkan enam ahli Majlis Mara yang baharu iaitu Rektor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. tan Sri Dzulkifli Abdul Razak; Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom), Dr. Nungsari Ahmad Radhi dan Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Dr. Ameer Ali Mydin.

Diikuti, Pengerusi Mayban Life Assurance Berhad, Datuk Syed Tamim Ansari Syed Mohamed; bekas Ketua Pegawai Eksekutif Proton Holdings Berhad, Tengku Tan Sri Mahaleel Tengku Ariff dan Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia Berhad (AMB), Zakri Khir. - UTUSAN ONLINE