LEBIH baik berniaga, sekurang-kurangnya menjual tisu berbanding mengemis.
LEBIH baik berniaga, sekurang-kurangnya menjual tisu berbanding mengemis.

Seorang pengemis pula meminta sedekah daripada orang ramai di mana-mana sahaja dan memperoleh hasil kira-kira RM150 sehari.

Jika pengemis terbabit mengemis selama 24 hari dalam sebulan, maka dia mampu mengutip sebanyak RM3,600.

Selain itu, jika dia melakukan aktiviti tersebut secara berterusan tanpa mengambil ‘cuti rehat’ selama sebulan, maka pendapatannya akan meningkat kepada RM4,500.

Jika dihitung untuk tempoh setahun, maka pendapatan pengemis warga asing boleh mencecah RM43,200 (RM3,600 x 12 bulan) atau RM54,000 (RM4,500 x 12 bulan).

Berdasarkan jumlah tersebut, gaji pengemis warga asing menyamai gaji seorang pegawai atau eksekutif kanan yang bekerja selama beberapa tahun di sebuah syarikat swasta.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), satu analisis dibuat dan kesimpulannya mendapati jumlah pengemis warga asing meningkat kira-kira sekali ganda berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Perbandingan telah dibuat sejak 2013 sehingga Jun tahun ini. Peningkatan ketara dapat dilihat apabila jumlah pengemis warga asing pada 2013 adalah 194, meningkat kepada 381 orang pada 2014.

Jumlah tersebut mencatatkan peningkatan berdasarkan statistik enam bulan pertama tahun ini mencecah seramai 435 orang berbanding tempoh setahun pada 2015, sebanyak 412 orang.

Tidak mustahil angka tersebut akan terus meningkat sekiranya masyarakat tiada kesedaran untuk terus memberi sumbangan kepada pengemis warga asing.

Adalah lebih tepat jika sumbangan diberi terus ke rumah anak yatim, golongan miskin luar bandar atau bandar dan asnaf.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Perundangan dan Penguatkuasaan JKM, Roslan Baba melahirkan kebimbangan terhadap peningkatan jumlah pengemis terutama warga asing sejak kebelakangan ini.

Menurut beliau, satu perbelanjaan besar terpaksa dikeluarkan untuk membanteras kegiatan mengemis dan kerajaan menanggung kerugian apabila pengemis terbabit yang ditangkap dihantar pulang ke negara asal mereka.

“Golongan ini mampu mengaut antara RM150 hingga RM200 pada hari biasa dan jumlah tersebut boleh mencecah sehingga RM1,000 sehari pada bulan Ramadan atau sambutan Hari Raya Aidiladha,” ujarnya.