Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, kajian terperinci mengenai usaha itu sedang digerakkan Jabatan Pertanian Terengganu dengan projek perintis bakal dilaksanakan di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Peradong, Manir dekat sini.

Katanya, menerusi sasaran itu, TKPM Peradong dijangka mengeluarkan lebih 100 metrik tan Melon Manis Terengganu dalam setahun berbanding jumlah sedia ada hanya 66 metrik tan yang direkodkan pada masa ini.

"TPKN Peradong merupakan pusat pengeluaran tanaman contoh bagi Melon Madu Terengganu kerana mampu mengeluarkan hasil tertinggi di samping kualiti buahnya yang premium.

"Pengeluaran lima kali setahun yang disasarkan itu merupakan had maksimum dengan menggunakan segala kemampuan dan teknologi yang ada serta yang bakal dirangka termasuk kemungkinan ditanam di tempat terbuka mahu pun penggunaan struktur pelindung hujan," katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja di TKPM Peradong, hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Hilmi Harun serta Pengarah Pertanian negeri, Zulkefly Harun.

TKPM Peradong yang siap sepenuhnya pada 2016 dibangunkan di kawasan seluas 4.019 hektar dan merupakan yang terkecil dalam kalangan empat TKPM di negeri ini iaitu di Rhu Tapai di Setiu, Serating (Marang) dan Tok Dor (Besut)

Dalam pada itu, Azman turut menyentuh hasrat mewujudkan Pelan Pertanian Strategik Terengganu dalam tempoh lima tahun bagi mencorak dan melonjakkan sektor pertanian negeri dengan lebih komprehensif dan sistematik.

Katanya, pembangunan pelan strategik itu akan melibatkan buah fikiran daripada semua pihak termasuk 33 jabatan dan agensi berkaitan, penyelidik dan ahli akademik di samping wakil persatuan, usahawan serta pesara di bidang pertanian, perikanan dan penternakan.

"Menerusi program turun padang dalam tempoh tiga bulan ini kita dapat gambaran jelas tentang keadaan pertanian di Terengganu dari semua aspek jadi selepas sambutan Hari Raya Aidiladha nanti kita akan memulakan gerakkan membangunkan pelan tersebut," katanya. - UTUSAN ONLINE