Yang Dipertua Persatuan Kebajikan Keselamatan Negeri Kedah, Abu Bakar Senawi mendakwa, kira-kira empat syarikat pengurusan didakwa gagal melunaskan bayaran gaji minima berjumlah RM900 kepada lebih 1,000 pengawal keselamatan sekolah di negeri itu.

Beliau mendakwa, keadaan itu berlaku apabila pihak pengurusan memperbaharui tender setiap tiga tahun yang mana pengawal keselamatan akan diberikan tempoh percubaan selama tiga bulan dengan bayaran gaji sebanyak RM630 sebulan.

"Pihak pengurusan yang terlibat dalam mengurus pengawal keselamatan itu gagal membayar gaji minima sebanyak RM900 seperti yang telah ditetapkan di bawah Akta Gaji Minimum 2012 dan hanya membayar gaji minima sebanyak RM630.

Video oleh ISMAIL KAMADIN

 

"Bulan April ini juga kami masih menerima gaji RM630 sedangkan tempoh percubaan telah tamat.

 

"Jumlah gaji yang diterima ini tidak setimpal dengan jumlah jam kami bekerja dan ini menyebabkan kami sering berdepan dengan masalah tidak cukup wang untuk menanggung kos sara hidup yang semakin tinggi," katanya kepada pemberita semasa berhimpun di perkarangan sebuah sekolah di sini hari ini.

Abu Bakar mendakwa selepas membuat kerja lebih masa selama empat jam setiap hari, dia hanya menerima bayaran sebanyak RM1,400 berbanding hampir RM2,000 sebelum ini dan gaji yang diterima tidak mencukupi untuk menyara keluarga.

"Anak-anak saya masih bersekolah dan duit daripada kerja sebagai pengawal keselamatan inilah yang saya gunakan untuk menguruskan keperluan harian keluarga. Pihak pengurusan seperti tidak mendengar keluhan dan kesusahan yang sedang kami semua hadapi.

"Kami tidak mahu perkara ini berlanjutan dan jauh sekali hendak membuat mogok sehingga mengunci pintu pagar sekolah kerana ini akan menyebabkan kelancaran sekolah terbantut jadi saya harap pihak pengurusan pandang serius perkara ini," dakwanya.

Sementara itu, wakil sebuah syarikat pengurusan yang terlibat, Jamilah Dat berkata, berlaku salah faham antara pihak pengurusan dan pengawal keselamatan mengenai isu tersebut kerana pihaknya telahpun membuat kenaikan gaji bermula April lalu.

"Sepatutnya hari ini pihak pengurusan berjumpa dengan pengawal keselamatan untuk memaklumkan mengenai kenaikan gaji tersebut namun pihak mereka telah membuat sidang akhbar terlebih dahulu.

"Bermula bulan lepas, kami telah membuat pemotongan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM99 dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebanyak RM8.25 jadi mungkin dari situ mereka lihat jumlah gaji masih sama dengan bayaran semasa dalam tempoh percubaan," katanya.

Tambahnya, surat tawaran kenaikan gaji yang baharu akan diedarkan kepada 44 pengawal keselamatan sekolah dari 11 buah sekolah di sekitar zon Pendang dan berharap ia dapat menyelesaikan isu tersebut. - BERNAMA