Tiong Lay menubuhkan YTL pada 1955 sebagai sebuah syarikat pembinaan sebelum berkembang maju menjadi konglomerat yang memiliki perniagaan di dalam sektor teknologi, perhotelan, utiliti, pembinaan dan pengurusan hartanah.

Mendiang merupakan bapa kepada Tan Sri Francis Yeoh Sock Ping yang kini merupakan Pengarah Urusan kumpulan YTL.

Menurut Forbes, Tiong Lay dianggarkan memiliki kekayaan kira-kira RM8.2 bilion, meletakkan dirinya sebagai orang ketujuh paling kaya di Malaysia.

Dalam kenyataan rasmi, keluarga mendiang melahirkan kesedihan atas pemergiannya.

“Kami amat sedih dengan pemergian ketua keluarga kami, Tan Sri Datuk Seri Dr. Yeoh Tiong Lay.

“Empat generasi keluarga kami berasa bertuah kerana dapat merasai kemesraan beliau selama 88 tahun dan kehilangan mendiang akan benar-benar dirasai,’’ kata keluarga mendiang.

Ahli-ahli keluarga dan sahabat handai mendiang boleh memberi penghormatan terakhir pada 19 Oktober bermula 7 malam di No. 2, Lorong Buloh Perindu 1, Damansara Heights, Kuala Lumpur.

Upacara menghormati mendiang akan diadakan selama tiga hari iaitu Khamis, Jumaat dan Sabtu pada 8.30 malam manakala upacara pengebumian ialah pada pukul 10 pagi pada Ahad, 22 Oktober ini sebelum dibawa ke Taman Peringatan Nilai pada pukul 12 tengah hari.