Faiez Imran, 24, berkata, dalam usaha menyiapkan filem yang merupakan projek tahun akhirnya, dia terpaksa menahan terik matahari ketika melakukan penggambaran.

Menurut bekas pelajar Sekolah Menengah Vokasional Sungai Petani 1 itu, dia juga perlu bijak membahagikan masa ke­rana harus menyiapkan tugasan untuk kertas pengajian lain.

“Pada masa sama, saya turut terlibat dengan aktiviti sukan dan kesukarelaan sepanjang tempoh pengajian selama tiga tahun,” katanya.

Faiez Imran berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas menerima Anugerah Sri Gelugor yang disampaikan Timbalan Ke­tua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Mohamad Amin Hamat di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah Politeknik Metro, Zulkurnain Shahadan.

Mengulas lanjut, anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, bidang berkenaan mempunyai peluang kerjaya yang luas dan dia sendiri berhasrat mengarahkan sebuah filem bergenre aksi dan seni pada masa akan datang.

“Saya sangat berminat dengan hasil kerja Sabri Yunus kerana dia seorang yang cukup teliti ketika menghasilkan karya,” kata Faiez Imran yang turut terlibat dengan produksi filem Adiwiraku yang terpilih sebagai filem terbaik dalam Festival Filem Malaysia (FFM) tahun lalu.

Malah, dia yang kini bertugas di Unit Media, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) turut berhasrat menyambung pengajian peringkat ijazah di Akademi Seni Budaya dan Wa­risan Kebangsaan (Aswara) bagi mengejar cita-cita menjadi seorang pengarah filem

Selain itu, Faiez Imran turut menerima Anugerah Pengarah Politeknik, manakala Qistina Ahmad Ghazali dipilih menerima Anugerah Kecemerlangan Industri bersama-sama Nur Afiqah Alias dan Muhammad Falihin Abdul Talib.

Pada majlis berkenaan, seramai 177 pelajar lain termasuk penuntut Diploma Teknologi Maklumat (Teknologi Permainan), Diploma Profesional Pembuatan Komposit Aeroangkasa dan Sijil Profesional (Operasi Peralatan) turut menerima skrol masing-masing.

Dalam pada itu, Mohamad Amin berkata, Diploma Pengajian Video dan Filem serta Diploma Teknologi Maklumat yang ditawarkan politeknik berkenaan kini telah mendapat perakuan akreditasi penuh daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

Katanya, perkembangan itu akan menyaksikan graduan mereka memperoleh kelebihan terutama memudahkan mereka melanjutkan pengajian peringkat ijazah di universiti tempatan atau luar negara.

“Selain itu, graduan Politeknik Metro Tasek Gelugor juga sering mendapat permintaan tinggi daripada majikan untuk diserap sebagai tenaga kerja setelah tamat pengajian,” katanya.

/habis