Penganjuran program tersebut bukanlah suatu perkara yang baharu, malah dikatakan diadakan dua kali setahun sejak sekian lama meskipun amalan yang dibawa pihak berkenaan seringkali diragui masyarakat.

Tindakan pihak penganjur yang tidak mempunyai halangan mengadakan program tersebut dilihat boleh mencalarkan imej Jabatan Agama Islam, khususnya kerajaan negeri.

Beberapa pelancong asing yang didapati hadir dalam program tersebut pastinya tidak mendapat gambaran yang jelas berkaitan amalan sebenar agama Islam.

Perkara itu sudah pasti agak membimbangkan kerana negara yang kini dikatakan mempunyai ancaman seperti fahaman wahabi dan syiah tidak boleh menambah lagi isu perbezaan berkaitan agama Islam.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, selain program di pulau itu diragui, mereka didakwa turut memohon derma dari segi keperluan dan kewangan daripada orang ramai bagi menjayakan majlis tersebut.

Perbuatan itu akan menimbulkan persoalan apakah motif ataupun tujuan mereka berbuat demikian kerana dikatakan wang yang disalurkan adalah secara te­rus kepada akaun bank pihak pe­nganjur tanpa ada sebarang kaitan dengan pihak berkuasa kerajaan negeri bagi majlis keagamaan se­perti ini.

Dalam pada itu, demi keuntungan, dikatakan ada pihak yang didapati bersekongkol dengan penganjur program tanpa memikirkan impak serta kesan terhadap perbuatan mereka dalam konteks agama Islam.

Sebuah pertubuhan didakwa telah dibayar untuk memberikan perkhidmatan berzanji dalam program tersebut semata-mata bagi memeriahkan lagi majlis berkenaan dalam menarik perhatian pengunjung yang hadir.

Walaupun dengan jelas program berkenaan terdapat unsur-unsur yang diragui, namun pertubuhan terbabit sanggup menerima tawaran daripada pihak penganjur untuk bersama dengan mereka.