Malah penganjur juga bercadang menghadap Majlis Raja-Raja bagi memaklumkan perhimpunan aman yang diadakan semalam selain menyuarakan kebimbangan orang Melayu tentang usaha meratifikasi ICERD.

AMINUDDIN YAHYA
AMINUDDIN YAHYA 

Ketua Sekretariat Gerakan Pembela Ummah (Ummah), Aminuddin Yahya berkata, apa yang berlaku semalam sangat luar biasa dan sambutan yang diberikan agak mengejutkan sekali pun pelbagai bentuk rintangan dihadapi oleh beberapa pihak yang cuba menggagalkan perhimpunan tersebut.

“Perhimpunan semalam sangat menakjubkan dalam lipatan sejarah negara. Perhimpunan itu membuktikan orang Melayu boleh bersatu apabila berdepan beberapa percubaan untuk menggugat kepentingan bangsa dan agama,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Perhimpunan #DaulatHimpunan812 yang dianjurkan bersama dengan Sekretariat Kedaulatan Negara (Daulat) dianggar telah menghimpunkan 300,000 peserta sebagai melahirkan rasa syukur kerajaan tidak akan meratifikasi ICERD.

Yang lebih istimewa, perhimpunan itu menggabungkan dua parti terbesar orang Melayu iaitu UMNO dan Pas yang selama ini sangat diimpikan oleh orang Melayu.

Pada masa sama Aminuddin berkata, pihak penganjur sememangnya mengharapkan penyertaan kaum lain dalam perhimpunan semalam namun memahami DaulatHimpunan812 diadakan dengan tujuan spesifik iaitu mempertahankan Perlembagaan Persekutuan dalam konteks bumiputera dan Islam.

Jelasnya, amat penting hak-hak orang Melayu dipertahankan kerana jika penduduk majoriti sesebuah negara dike­tepikan dan tertinggal ke belakang, keadaan itu boleh mencetuskan akibat yang lebih buruk dalam jangka masa panjang.