Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd. Mutalib berkata, sikap yang mementingkan keuntungan dengan mengambil ramai kanak-kanak dan diletakkan di bawah jagaan pengasuh yang terbatas dan tidak terlatih serta bermasalah antara penyumbang kes seumpama itu.

Beliau memberitahu, antara kriteria penting yang perlu ada ialah kekuatan dari segi fizikal dan mental dengan kesabaran tinggi, memahami psikologi kanak-kanak, mampu mengawal emosi selain keupayaan di segi kerohanian dan ilmu agama.

Di samping itu juga, jelas beliau, pengambilan kakitangan juga akan mengambil kira kelayakan akademik yang dimiliki sama ada peringkat diploma atau ijazah bagi melahirkan kakitangan yang benar-benar mempunyai jati diri.

“Sebab itu dari segi emosi, kerohanian, fizikal, mental serta kesabaran cukup penting bagi setiap pengasuh ketika berdepan kerenah kanak-kanak. Mereka (pengasuh) kena banyak sabar bila tengok budak menangis dan pujuk mereka,” katanya.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas majlis Ramah Mesra dan Penyampaian Sijil Tamat Latihan Kepada Peserta Kursus Asuhan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak Permata dan Kursus Usahawan Asuhan Permata di Rumah dekat sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Nerus, Datuk Basir Ismail yang mewakili Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Ismail seterusnya menasihatkan para pengusaha agar sentiasa memastikan pengasuh yang diambil mempunyai kriteria seumpama itu kerana jika berlaku insiden sehingga mencederakan kanak-kanak, pengasuh bakal dikenakan hukuman penjara 10 tahun atau denda sehingga 20,000 di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 jika sabit kesalahan.

Dalam kejadian terbaharu semalam ,di sebuah tadika di Kajang, Selangor,  seorang kanak-kanak berusia 4 tahun mengalami pendarahan telinga selain kesan lembam di kedua-dua pipi akibat ditampar oleh seorang pengasuh.-UTUSAN ONLINE